Sunday, August 14, 2022
25.2 C
Brunei

CPP sokong Hun Sen sebagai calon PM

-

PHNOM PENH, 17 JULAI – Parti pemerintah, Parti Rakyat Kemboja (CPP), hari ini menyatakan sokongan penuh pencalonan Perdana Menteri Samdech Techno Hun Sen bagi jawatan perdana menteri dalam penggal seterusnya sekiranya parti itu memenangi pilihan raya pada 23 Julai 2023.

“Persidangan sebulat suara menyatakan sokongan untuk Samdech Techo Hun Sen sebagai calon perdana menteri bagi Perhimpunan Kebangsaan ketujuh dan Hun Manet sebagai calon perdana menteri masa hadapan,” menurut kenyataan parti itu.

Hun Sen, 69, memegang kuasa selama 37 tahun, sementara anak sulungnya, Hun Manet, 44, adalah ahli jawatankuasa tetap CPP, dan merupakan timbalan ketua komander Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja (RCAF) serta komander Tentera Diraja Kemboja.

Kenyataan dikeluarkan semasa hari terakhir persidangan jawatankuasa CPP yang berlangsung dua hari di ibu pejabat parti di Phnom Penh. Persidangan juga menyeru semua parti politik, pertubuhan awam dan badan lainnya untuk terus bekerjasama rapat sejajar dengan prinsip demokrasi untuk menyumbang secara aktif bagi menghasilkan persekitaran politik yang lebih baik untuk pilihan raya umum 2023.

“Pada masa yang sama, kita mesti mengelak sebarang aktiviti keganasan, tidak kira dari mana sumbernya, yang cuba merosakkan keamanan, kestabilan politik, keselamatan dan ketenteraman awam,” menurut kenyataan.

CPP memerintah negara itu sejak 1979, dan ketika ini ahli jawatankuasa terdiri daripada 865 orang ahli. Pada pilihan raya umum 2018, CPP memenangi kesemua 125 kerusi di Perhimpunan Kebangsaan. – Xinhua

Samdech Techo Hun Sen semasa mempengerusikan persidangan jawatankuasa CPP di Phnom Penh baru-baru ini. Parti memerintah CPP menyatakan sokongan penuh pencalonan Hun Sen sebagai perdana menteri seterusnya sekiranya parti itu memenangi pilihan raya pada 2023. – Xinhua
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -