KUALA LUMPUR, 24 Okt – Proses ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) mungkin memerlukan dua sidang Parlimen lagi bagi meminda peraturan dan undang-undang berkaitan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Isham Ishak.
Katanya, terdapat 18 undang-undang dan peraturan yang perlu dipinda oleh Parlimen sebelum CPTPP boleh dibawa kepada Kabinet untuk kelulusan.
“Kalau ikut perancangan asal, sepatutnya kita buat ratifikasi pada Februari tahun depan.
“(Tetapi) mungkin memerlukan satu atau dua sidang Parlimen lagi untuk memastikan bahawa peraturan tersebut telah dibuat dengan baik dan telah mendapat konsultasi dengan pihak-pihak yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Perniagaan Tanggungjawab Sosial Korporat Kind Malaysia 2018 di sini, hari ini.
Isham berkata, antara cabaran dalam proses ratifikasi CPTPP adalah untuk meyakinkan kerajaan bahawa perjanjian tersebut adalah baik untuk negara.
“(Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad) telah banyak kali menyarankan supaya kita melaksanakan kajian dengan sedalam-dalamnya untuk memastikan bahawa manfaat CPTPP akan dapat kepada negara ini,” katanya. – Bernama