CR7 baham Lithuania

PARIS, 11 SEPT Cristiano Ronaldo (gambar bawah) meledakkan empat gol ketika membantu Portugal membelasah Lithuania 5-1 dalam saingan kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi.

Permainan hebat kapten Portugal itu, yang membuat penampilan ke-160 untuk negaranya, telah menjulang Portugal di kedudukan kedua dalam Kumpulan B selepas permulaan hambar kempen kelayakan.

Portugal, yang memulakan saingan kumpulan dengan seri menentang Ukraine dan Serbia, mula meraih kemenangan di Belgrade hujung minggu lalu. Bahkan mereka mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding pasukan lain meskipun ketinggalan lima mata di belakang Ukraine, yang mengungguli kumpulan dengan 13 mata. – AFP