MILAN, 28 Okt – Cristiano Ronaldo mencetak dua jaringan termasuk gol menakjubkan dari jarak 25 ela, ketika juara Itali, Juventus melonjak tujuh mata di depan dalam Liga Serie A awal pagi tadi susulan kemenangan 2-1 di Empoli.
Empoli, yang buntu kemenangan sejak minggu pertama musim ini, mendahului pada minit ke-28 di Stadio Carlo Castellani apabila Francesco Caputo meledak bola ke dalam jaring selepas larian pantas Afriyie Acquah.
Bagaimanapun Juventus bergantung kepada pemain bernilai 100 juta euro Ronaldo pada babak kedua dengan penyerang Portugal itu menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-54, sebelum merembat masuk gol kedua yang cantik bagi melakar kemenangan kesembilan dalam 10 perlawanan Serie A buat skuad Massimiliano Allegri.
“Ia adalah perlawanan yang amat sukar. Kami sedar ia pasti sukar apatah lagi selepas bermain dalam Liga Juara-juara dan kami agak letih,” kata Ronaldo kepada Sky Sport Italia.
“Kami tetap bersaing, meningkatkan penguasaan mainan, mencipta lebih banyak peluang selepas rehat dan akhirnya berhak meraih kemenangan ini.
“Saya tidak ingat gol itu dengan jelas, saya perlu menyaksikannya sekali lagi! Ia berlaku dengan pantas, tapi saya rasa yakin dan cuba menjaringkan gol.”
Selepas seri 1-1 dengan Genoa hujung minggu lalu, Ronaldo melengkapkan minggu lebih berjaya buat Juve apabila dia melakukan rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan, 20 minit sebelum tamat perlawanan
“Saya beritahu mereka, ini perlawanan yang perlu dimenangi, tidak kira bagaimana bagus atau buruk kami bermain,” kata Allegri. “Gol itu satu saat magis daripada seorang pemain luar biasa dan ia sesuatu yang cuba ditiru kanak-kanak sekolah.” – AFP

Stadium Carlo Castellani. – AFP