PARIS, 18 Ogos – Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menerajui calon-calon yang didedahkan bagi anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2017 semalam.
Kapten Portugal berusia 32 tahun itu menjadi pilihan utama bagi mengekalkan gelaran yang dimenanganinya tahun lepas selepas berjaya dalam kedua Liga Juara-Juara dan La Liga.
Antara 24 calon lelaki yang lain adalah rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Dani Carvajal, Toni Kroos, Marcelo, Luka Modric, Keylor Navas dan Sergio Ramos.
Senarai itu juga termasuk pesaing dari Barcelona, Lionel Messi dan Luis Suarez, serta rekod penandatangan Paris Saint-Germain, Neymar.
Finalis Liga Juara-Juara dengan Juventus, penjaga gol dari Itali, Gianluigi Buffon dan rakan sepasukannya, Paulo Dybala juga tersenarai, bersama dengan bekas pemain Juventus, Leonardo Bonucco, yang sudah berpindah ke AC Milan.Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane mendahului 12 calon lain bagi anugerah jurulatih lelaki tahunan.
Beberapa ornag calon lain termasuk Antonio Conte, yang menerajui Chelsea bagi gelaran Inggeris, jurulatih pemenang Liga Europa bersama Manchester United, Jose Mourinho dan Massimiliano Allegri dari Juventus.
Zidane telah menikmati tahun yang gemilang mengendalikan Madrid apabila mereka berjaya mempertahankan Piala Eropah, pasukan pertama melakukannya dalam era Liga Juara-Juara.
Real juga memenangi La Liga, pertama kali menjadi juara Sepanyol dan Eropah dalam tahun yang sama sejak 1958.
Zidane juga memenangi sebanyak tujuh trofi sejak menggantikan Rafael Benitez sebagai jurulatih Madrid pada bulan Januari tahun lepas, termasuk Piala Super UEFA dan Piala Super Sepanyol bulan ini. – AFP