CR7 cipta sejarah, julang Portugal

PARIS, 9 SEPT – Cristiano Ronaldo meledak dua gol bagi memberikannya 101 jaringan antarabangsa buat Portugal dalam kemenangan 2-0 mengatasi Sweden yang bermain 10 orang pada saingan Liga Negara-Negara sebentar tadi.

Ronaldo meledak gol ke-100 pada babak pertama dengan melencongkan bola ke kiri gawang tanpa dapat diselamatkan penjaga gol Sweden, Robin Olsen.

Gol kedua yang juga ke-101 hadir pada minit ke-72 ketika bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu memecah pertahanan Sweden dan meledak ke penjuru.

“Ada dua gol penting kerana ia bermakna saya berjaya mencapai tahap yang saya cari-cari,” kata Ronaldo kepada televisyen Portugal, RTP.

“Saya sangat gembira, pertama kerana pasukan menang dan sudah tentu apabila menjaringkan gol ke-100 dan 101, dua gol hebat.

“Adalah menyedihkan bermain tanpa penonton, sama seperti ke sarkas tapi tiada badut atau ke taman tanpa bunga,” kata Ronaldo.

“Bercakap bagi diri saya, apabila saya bermain di tempat lawan, saya suka disorak, ia memberikan saya motivasi.”

Selepas tampil kali pertama pada saingan antarabangsa ketika berusia 18 tahun pada 2003, Ronaldo meledak gol pertama buat Portugal ketika tewas 2-1 kepada Greece pada Euro 2004. Ronaldo yang merekodkan 165 kap bersama Portugal, kini berada di kedudukan kedua penjaring terbanyak dalam perlawanan antarabangsa di belakang Ali Daei yang menjaringkan 109 gol. – AFP

Bola hasil tendangan magis Ronaldo menyusup masuk ke dalam gawang melewati penjaga gol Sweden pada perlawanan awal pagi tadi di Solna. – AFP