CR7 hadiahkan Juve kemenangan

MILAN, 20 JAN – Cristiano Ronaldo meledak dua kali dalam kemenangan 2-1 Juventus ke atas Parma untuk berada empat mata di depan pesaing terdekat Inter Milan di puncak Serie A.

Misi Inter memburu kejuaraan terbantut lagi apabila seri 1-1 menentang kelab bawahan Lecce manakala Ante Rebic menjaringkan gol kemenangan AC Milan ke atas Udinese.

Ronaldo memecah kebuntuan di akhir babak pertama, untuk menemui sasaran dalam tujuh perlawanan liga berturut-turut.

Andrea Cornelius menanduk gol penyamaan 10 minit selepas rehat tetapi Ronaldo memastikan kemenangan apabila memanfaatkan hantaran lintang Paulo Dybala untuk gol ke-11 dirinya dalam tujuh perlawanan dan ke-16 keseluruhan dalam liga musim ini.

Inter, yang hanya menang dua daripada enam perlawanan terakhir liga, kini turut diancam Lazio yang hanya dua mata di belakang dan mempunyai satu perlawanan di tangan selepas membelasah Sampdoria 5-1.

Reaksi Ronaldao selepas berjaya menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Parma di liga Serie A di Stadium Allianz, Torina. – AP

Skuad kendalian Antonio Conte tampak seperti akan membawa pulang tiga mata apabila Alessandro Bastoni meletakkan mereka di depan ketika permainan berbaki 18 minit.

Tetapi Marco Mancosu kembali menyamakan kedudukan hanya selepas lima minit ketinggalan.

Penyerang sensasi Zlatan Ibrahimovic memulakan permainan buat pertama kali di San Siro selepas menjaringkan gol di Cagliari hujung minggu lalu.

Pemain 38 tahun Sweden itu mencetus keyakinan baharu buat juara Eropah tujuh kali itu, yang kini mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan sejak kepulangannya ke kelab Itali berkenaan.

“Ketibaan Ibrahimovic memberikan kami lebih pilihan dan keyakinan, dan ia amat membantu,” kata pengendali Milan Stefano Pioli. – AFP