CR7 ledak dua gol julang Juve

MILAN, 22 NOV – Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol buat kali ketiga dalam lima perlawanan ketika juara bertahan Serie A Juventus melonjak di tempat kedua liga selepas kemenangan 2-0 ke atas Cagliari di Turin.

Skuad kendalian Andrea Pirlo berada hanya satu mata di belakang pendahulu liga, AC Milan, yang akan berkunjung ke Napoli hari ini.

“Kami memerlukan perlawanan sebegini,” kata Pirlo.

“Terdapat persembahan cemerlang, termasuk daripada mereka yang baru pulang dari pasukan kebangsaan.

“Kebanyakan mereka tiba dua hari lalu dan memulakan latihan pertama mereka semalam dan juga kepenatan selepas melakukan perjalanan itu.

“Malam ini mereka menikmati permainan, persembahan sebegini me-ningkatkan keyakinan pemain.”

Ronaldo, 35, yang kembali ke prestasi asalnya selepas dikuarantin akibat COVID-19, mengumpul lapan gol dalam lima perlawanan untuk menyertai penyerang Milan, Zlatan Ibrahimovic sebagai antara penjaring terbanyak Serie A.

Pemain pertahanan, Matthijs de Ligt beraksi keseluruhan permainan dalam perlawanan pertamanya sejak mengalami kecederaan bahu pada Ogos lalu.

Ia sekali gus memberi kelegaan buat Pirlo yang akan beraksi tanpa dua pemain, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini kerana kecederaan menjelang perlawanan berdepan wakil Hungary, Ferencvaros dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini. – AFP

Reaksi Ronaldo ketika meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya pada perlawanan menentang Cagliari di Stadium Juventus di Turin, awal pagi kelmarin. – AFP