CR7 Pemain Terbaik FIFA

ZURICH, 10 Jan – Cristiano Ronaldo telah merangkul Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA yang julung-julung kalinya diadakan awal pagi tadi, anugerah terbaru bagi bintang Real Madrid dan Portugal itu selepas kecemerlangan 2016 bersama kelab dan negara. Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri telah menerima Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA selepas membawa kelab bukan pilihan itu menjuarai Liga Perdana.

Tetapi malam itu sekali lagi milik Ronaldo yang berusia 31 tahun, menewaskan pesaing utamanya, Lionel Messi serta Antoine Griezmann bagi merebut piala berprestij itu.

Ronaldo sudah memenangi Ballon d’Or yang keempatnya baru-baru ini selepas meraih kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali ketiga, sebahagian besarnya adalah 16 gol yang dihasilkannya dalam 12 perlawanan, serta menjulang Piala Euro 2016 bersama Portugal bagi mahkota utama yang pertama bagi negara tersebut.

“2016 merupakan tahun terbaik dalam kerjaya saya,” kata Ronaldo selepas diserahkan piala oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.

“Ia merupakan tahun yang hebat dari segi tahap peribadi dan tahap sukan,” jelasnya ketika memberikan ucapan di atas pentas di Zurich.

Cristiano Ronaldo mencium piala selepas memenangi Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA. – AFP
Cristiano Ronaldo mencium piala selepas memenangi Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA. – AFP

Ranieri, 65, yang menewaskan bos Real Madrid Zinedine Zidane dan pengurus Portugal Fernando Santos, berkata penghormatan Jurulatih Lelaki Terbaik itu adalah menakjubkan selepas menerimanya daripada legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona.

Di bawah kepimpinan Ranieri, Leicester telah menghasilkan satu keajaiban dan mencetuskan kejutan besar dalam sejarah bola sepak Inggeris bagi menjulang piala Liga Perdana pada musim lepas.

Selepas berjaya menggelakkan daripada penyingkiran pada musim sebelumnya, The Foxes menaiki momentum tinggi untuk terus menjuarai Liga Perdana.

Anugerah-anugerah adalah berdasarkan gabungan proses undian yang melibatkan jurulatih dan kapten pasukan kebangsaan, sekumpulan wartawan terpilih dan para penyokong.

Ronaldo memperoleh 34.5 peratus undian menewaskan Messi, 26.4 peratus, yang tidak menghadiri majlis tersebut.

Barcelona berkata Messi menumpukan perhatian bagi membuat persiapan untuk perlawanan seterusnya menentang Athletic Bilboa.

Pemain tengah AS, Carli Lloyd merangkul Pemain Wanita Terbaik FIFA, pemenang dua kali pingat emas Olimpik itu sebelum ini pernah memenangi Pemain Terbaik Tahunan FIFA 2015.

Seramai sembilan orang pemain dari La Liga Sepanyol dalam 11 pemain bagi Pasukan FIFPro Terbaik dengan Ronaldo dan Messi mengetuai barisan pemain bintang.

FIFA juga memberikan Anugerah Fair Play FIFA kepada kelab Colombia, Atletico Nacional. – AFP