Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Crinum Asiaticum bukan sekadar penghias laman

    SEJENIS tumbuhan liar yang juga berkhasiat herba adalah spesies Crinum Asiaticum. Ia tergolong dalam keluarga tumbuhan Amaryllidaceae. Perkataan asiaticum pada nama spesiesnya bermaksud ia berasal dari kawasan Asia terutama daripada beberapa negara di Asia Tenggara termasuk negara kita. Ia juga dikenali sebagai Crinum Lily dan nama tempatannya pula ialah pokok Tembaga Suasa Besar.

    Bunganya cantik berwarna putih bersih dengan stamen berwarna ungu. Terdapat beberapa kuntum bunga berputik di hujung tangkai bunganya yang panjang kira setengah meter.

    Bunganya yang akan berkembang secara bergilir-gilir itu mempunyai enam kelopak putih dengan di tengahnya ditumbuhi enam stamen.

    Namun bunganya ini hanya boleh bertahan berkembang beberapa hari sahaja sebelum layu.

    Pokoknya mempunyai daun yang lebar dan panjang sehingga dua meter serta berwarna hijau tua. Batangnya pendek tetapi berisi. Ciri-ciri pokoknya sebegini menjadikannya sesuai dan cantik untuk dijadikan pokok spesimen untuk ditanam dalam pasu.

    Pokok Crinum Asiaticum mempunyai daun yang lebar dan panjang sehingga dua meter serta berwarna hijau tua.
    Bunga Crinum Asiaticum cantik berwarna putih bersih namun hanya bertahan berkembang selama beberapa hari sahaja sebelum layu.

    Pembiakan dan penanaman

    Ia mudah dibiakkan dengan menggunakan kaedah pecahan atau belahan rumpun.

    Pastikan untuk menyiram medium tanamannya supaya ia lembut dan memudahkan kerja seterusnya.

    Belah rumpunnya kepada beberapa rumpun yang lebih kecil.Tanam setiap rumpun yang mengandungi beberapa butir bebawangnya itu dalam pasu lain dengan medium tanaman yang baru atau tanam sahaja di tanah.

    Pokok ini juga boleh ditanam menggunakan biji benihnya dan juga anak pokoknya yang mudah bercambah secara semula jadi jika bijinya terjatuh ke tanah.

    Medium tanaman yang sesuai untuk penanamannya perlulah subur dan air mudah mengalir keluar iaitu campuran medium tanaman untuk pokok berpasu dalam nisbah 3:2:1 merangkumi tanah peroi, tanah gambut/tanah organik dan pasir sungai.

    Penjagaan

    Crinum Asiaticum perlu didedahkan kepada cahaya matahari separuh teduh supaya pokoknya cepat membesar dan berbunga.

    Ia memerlukan kelembapan medium tanamannya sentiasa. Oleh itu siram dua kali sehari di waktu pagi dan petang untuknya hidup subur. Siram bila perlu sahaja pada hari hujan.

    Baja organik seperti najis ayam adalah terbaik untuk membajai pokok ini.

    Sebagai alternatif, gunakan baja kimia iaitu baja berwarna hijau untuk pertumbuhan pokok dengan daun yang cantik.

    Manakala baja berwarna merah pula adalah untuk pertumbuhan bunga yang banyak dan cantik.

    Idea pameran

    Pokok Tembaga Suasa Besar sesuai ditanam di atas tanah sebagai salah satu spesies pokok berbunga dalam gubahan untuk menghiasi batasan dan juga untuk dijadikan sempadan.

    Ia juga sesuai ditanam dalam pasu sama ada secara solo sebagai pokok spesimen atau dicampur dengan pokok bebawang lain.

    Potong bunganya yang layu untuk kelihatan kemas.

    Gembur medium tanamannya agar pokok dapat tumbuh dengan subur. Awas ketika melakukannya bagi mengelakkan terkena bebawangnya.

    Dari segi perubatan tradisional ia juga adalah herba yang dikatakan berkhasiat bagi menyembuhkan beberapa jenis penyakit seperti bisul dan anggota badan terseliuh atau bengkak. Caranya ialah dengan dilayur daunnya dengan api dan disapu dengan sedikit minyak diatasnya lalu digunakan untuk membalut bahagian anggota badan berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda