Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cristiano Ronaldo positif COVID-19

    LISBON, 14 OKT – Penyerang Portugal dan Juventus, Cristiano Ronaldo telah disahkan positif COVID-19, kata Persekutuan Bolasepak Portugal, semalam.

    Ronaldo tidak mengalami sebarang simptom virus dan tidak akan bermain menentang Sweden dalam perlawanan Liga Negara-negara UEFA esok, kata persekutuan itu di laman webnya.

    Ronaldo, 35, yang telah memenangi anugerah Ballon d’Or lima kali, bermain menentang Perancis di Paris pada perlawanan Ahad lalu.

    Namun, skuad Portugal yang lain semuanya negatif selepas ujian virus dijalankan kelmarin, begitu juga skuad Perancis, menurut Persekutuan Bola Sepak Perancis.

    Ronaldo telah menjaringkan 101 gol untuk Portugal dan ketiadaannya akan menjadi kehilangan besar bagi pasukannya menentang Sweden kerana mereka berhasrat untuk terus kekal di kedudukan teratas dalam kumpulan mereka.

    Persekutuan Bolasepak Portugal mengumumkan bahawa penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo telah disahkan positif COVID-19. – AFP

    Malah ia juga satu pukulan besar bagi Juventus, kerana protokol kesihatan Serie A mengatakan bahawa Ronaldo mesti melakukan pengasingan diri selama 10 hari dan perlu mendapatkan keputusan negatif sebelum dia kembali beraksi.

    Ini bermakna Ronaldo akan terlepas perlawanan Serie A, Juve di Crotone pada Sabtu ini dan perlawanan pembukaan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara di Dynamo Kiev seminggu kemudian.

    Beliau juga belum pasti dalam pertembungan Liga Juara-Juara dengan Barcelona pada 28 Oktober.

    Keputusan itu juga membuka kembali kontroversi mengenai pemergiannya dari Turin ke kem latihan Portugal, yang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan di wilayah Piedmont di Itali, merupakan pelanggaran terhadap protokol virus.

    Roberto Testi, seorang pengarah pihak berkuasa kesihatan wilayah, mengatakan bahawa pemergian pemain tersebut adalah tanpa kebenaran yang sah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda