Cristina ubat rindu peminat

Agak lama menyepi daripada dunia lakonan, aktres kacukan Melayu-Jerman, Cristina Suzanne Stockstill, 36, mengubat rindu peminat apabila kembali aktif melalui drama Mr Millenium yang disiarkan sejak Selasa lalu.

Ibu kepada cahaya mata berusia setahun sembilan bulan ini mengaku sibuk dengan kehidupan peribadi, namun, jauh di sudut hati, cinta terhadap dunia seni tidak pernah pudar.

Pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) 2013 ini mengaku sengaja berbuat demikian bagi memberi ruang kepadanya berehat.

“Saya ada momen tertentu… Macam ‘biskut’, kadang ada, kadang-kala menghilang. Bukan apa, saya mahu beri ruang kepada diri sendiri.

“Sebagai aktor, ada masanya, kita perlu ruang untuk meneroka apa yang ada di sekeliling dan memberi masa untuk diri sendiri selain mencari sesuatu yang baharu.

Cristina mengaku cintanya terhadap dunia seni tidak pernah pudar biarpun dilihat kurang aktif. – Agensi

“Walaupun sepi daripada lakonan, ada kerja lain yang saya buat. Tetapi saya tidak suka terlalu berkongsi kehidupan peribadi di laman sosial,” katanya.

Anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang pernah membintangi beberapa filem antaranya Kil, Jwanita, CEO dan Sejoli : Misi Cantas Cinta ini memberitahu, tawaran membintangi drama Mr Millenium arahan Azmi Hatta diterima kerana tertarik dengan latar belakang cerita era 1960-an.

Selain itu, tambah Cristina, sepanjang menjadi pelakon sejak 2003, ini kali pertama dia diberi peluang membawa watak warga emas.
“Apabila ditawarkan membawa watak Mastora, saya tidak berfikir panjang. Bagi saya, watak Mastora cukup menarik kerana dia orang tua.

“Bagi menghayati watak Mastora, saya perlu ubah cara bertutur. Seperkara lagi, drama 13 episod ini berlatarkan era 1960-an dan saya tiada pengalaman berlakon dalam karya berteraskan era itu,” katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran di Hulu Tamu, Selangor, Cristina berkata, dia tidak boleh lupa rutin memakai ‘latex’ (topeng getah) bagi menampakkan efek warga emas.

“Buat kali pertama, saya kena pakai ‘latex’ hampir setiap hari di set. Proses untuk menyiapkan solekan itu memakan masa sejam.

“Alhamdulillah, saya tidak hadapi masalah membiasakan diri biarpun terpaksa memakai ‘latex’. Bagi saya, tiada bezanya dengan solekan biasa,” katanya.

Apa yang menarik, dalam drama Mr Millenium, Cristina juga membawa watak Qistina yang hidup pada zaman moden.

“Dalam drama ini, saya dan Aqasha membawa watak Jamil merentas waktu. Saya membawa dua watak sebagai Mastora dan Qistina.

“Biarpun dua watak, karakter mereka berbeza. Untuk watak Mastora, saya menjadikan nenek dan moyang sebagai rujukan orang tua,” katanya. – Agensi