ROSTOV-ON-DON, 27 Jun – Croatia memastikan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan D awal pagi tadi selepas bergelut untuk menang 2-1 ke atas Iceland di Rostov-on-Don, menempah pertembungan dengan Denmark pada peringkat kalah mati Piala Dunia.
Sementara banyak mata terarah pada Argentina dan perlawanan hidup-mati dengan Nigeria di Saint Petersburg, Croatia melengkapkan kedudukan teratas terima kasih kepada voli separuh masa kedua Milan Badelj dan Ivan Perisic, di antara penalti penyamaan Gylfi Sigurdsson.
“Kami melakukan segala-galanya semampu kami, jika anda berhabis-habisan anda tidak akan kecewa, kami boleh lihat sesama sendiri dan mendongak tinggi,” kata jurulatih Iceland, Heimir Hallgrimsson selepas perlawanan.
“Kami tidak pernah menyerah, terus maju.”

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic berkata Iceland menunjukkan ‘watak, disiplin dan perjuangan yang bagus’ tetapi meskipun pasukannya sudah mara, ‘hanya kemenangan memberikan kepuasan’ untuknya.
Dengan memenangi kesemua tiga perlawanan Kumpulan D, “fokus kini beralih pada perlawanan Denmark,” katanya.
“Kami memberikan peluang kepada skuad untuk bermain di Piala Dunia, tetapi bermula saat ini peringkat kumpulan sudah berakhir, kami telah melakukan tugas kami.”
Dalic merehatkan sebahagian besar pemainnya yang menewaskan Argentina 3-0, dengan hanya kapten Luka Modric dan pemain sayap, Perisic, mengekalkan posisi mereka. – AFP

































