Croatia undi kerajaan baharu

ZAGREB, 5 JULAI – Penduduk Croatia hari ini mengundi untuk sebuah kerajaan yang mampu memimpin pemulihan ekonomi yang terkesan akibat pandemik koronavirus, dalam perlumbaan sengit di antara calon konservatif dan pesaing berhaluan kiri serta parti nasionalis.

Pandemik telah menyebabkan ekonomi Croatia mengecut hampir 10 peratus, kemerosotan paling teruk dalam beberapa dekad, walaupun tatkala situasi kesihatan negara itu sendiri masih stabil.

Parti pemerintah HDZ, yang telah memimpin negara Adriatik itu sejak mencapai kemerdekaan, mencatat kejayaan dalam membendung wabak virus setakat ini, dengan jumlah 110 kematian dan 3,000 jangkitan.

Namun pertambahan kes baharu dalam beberapa minggu ini, dengan puluhan dicatat sehari, telah menimbulkan kebimbangan berhubung situasi kesihatan.

“Sesiapa yang menang akan menghadapi masalah ekonomi besar. Ia bukan senang,” kata Igor Ivic, ahli ekonomi berusia 49 tahun yang datang untuk mengundi di Zagreb.

Tinjauan menunjukkan dua parti utama Croatia – Parti HDZ pimpinan Perdana Menteri Andrej Plenkovic dan gabungan ‘Restart’ pimpinan Sosial Demokrat (SDP) – dalam persaingan sengit. Dengan kedua-duanya tidak dijangka memperoleh majoriti mutlak dalam parlimen 151 anggota, rundingan gabungan dijangka menyusuli pengundian.

Dengan anggota Kesatuan Eropah berdepan jangkitan baharu, pengundi dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung dan membawa pen mereka sendiri ke stesen pengundian, yang dibuka pada pukul 7 pagi.

Pegawai juga mengadakan lawatan ke rumah untuk mengutip kertas undi 500 orang – kira-kira 10 peratus daripada mereka yang dikuarantin – yang meminta untuk mengundi, sementara mereka yang dijangktii virus boleh berbuat demikian menerusi proksi.

Pemimpin SDP dan calon perdana menteri Davor Bernardic telah menuduh kerajaan mengambil risiko dengan memutuskan untuk meneruskan pilihan raya di tengah pandemik. – AFP

Perdana Menteri Croatia Andrej Plenkovic membuang undi di sebuah stesen pengundian di Zagreb kelmarin semasa pilihan raya parlimen negara. – AFP