Crystal Palace ikat Gunners

LONDON, 15 JAN – Mikel Arteta mengakui Arsenal mengalami keletihan selepas kebangkitan mereka sejak akhir-akhir ini sebelum mencatat keputusan seri 0-0 menentang Crystal Palace semalam.

Pasukan bimbingan Arteta telah memenangi semua empat perlawanan dalam semua kejohanan tetapi Gunners bernasib baik dapat bertahan meneruskan perlawanan tanpa kalah berturut-turut kepada lima perlawanan.

Palace gagal menyempurnakan beberapa peluang pada separuh masa pertama di Stadium Emirates, walaupun Arsenal mempamerkan peningkatan selepas rehat, mereka terlepas peluang untuk mendaki kedudukan carta Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Saya mahu melihat kemenangan dan beberapa gol tetapi kami keletihan. Saya tidak boleh salahkan semangat yang ada tetapi ia tidak cukup,” kata Arteta.

“Kami banyak mencipta situasi sukar pada awal permainan tetapi ada masanya kami terlalu banyak memberikan bola dengan mudah. – AFP

Aksi Wilfried Zaha dari Crystal Palace ketika membawa bola semasa perlawanan menentang Arsenal di Stadium Emirates, London, semalam. – AP