BANDAR SERI BEGAWAN, 8 FEB – Keadaan cuaca aktif diramalkan akan berlaku bermula malam ini, 8 hingga 13 Februari disebabkan oleh pembentukan awan hujan yang aktif di kawasan Negara Brunei Darussalam.
Hujan dan hujan berpetir juga sekali-sekala dijangka berlaku dengan angin kencang meningkat sehingga 45kmsj semasa atau sebelum hujan lebat. Keadaan cuaca ini adalah kerana negara kita masih berada dalam monsun timur laut di mana cuaca aktif selalunya berlaku pada waktu petang dan malam hingga ke awal pagi, menurut kenyataan yang diterima dari Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini.
Keadaan laut pada amnya berombak diparas sedikit dan boleh mencapai ke paras sederhana sehingga 1.2 m. Sehubungan dengan itu, BDMD menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai berisiko tinggi untuk mengalami banjir kilat semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari satu jam dan semasa kejadian pasang surut.
Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.
Oleh itu, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD turut menyatakan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Bagi maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX, kerana maklumat mengenainya dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.