Sunday, December 10, 2023
28.8 C
Brunei

    -

    Cuaca aktif diramal berterusan sehingga 26 November

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Negara Brunei Darussalam dijangkakan mengalami keadaan cuaca tidak menentu pada minggu ini disebabkan oleh pertembungan luruan angin sejuk dengan sistem tekanan rendah berdekatan dengan negara yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.

    Keadaan cuaca aktif berkenaan diramalkan berterusan sehingga 26 November dengan hujan lebat berpetir sekali-skala berlaku dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 km sejam semasa atau dekat hujan lebar berpetir dan di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana iaitu sehingga 1.8 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di penghujung tempoh peralihan monsun di mana sepanjang tempoh itu, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian kita.

    Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebar dan keadaan berangin dengan keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi serta sukan laut.

    Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam akan terus memantau keadaan cuaca dari masa ke semasa serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Jabatan berkenaan menyatakan lagi bahawa maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit kami iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@bruneiweather) dan saluran Telegram, BruneiWewather.

     

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    India larang eksport bawang

    NEW DELHI, 8 DIS – India melarang eksport bawang sehingga Mac tahun depan bagi meningkatkan bekalan domestik selain membendung inflasi pengguna. Kerajaan memutuskan untuk memindahkan...