Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam monsun timur laut, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga sekitar hujung bulan Mac 2025, dan dalam tempoh separuh pertama monsun timur laut, iaitu sehingga bulan Januari 2025, ia juga dikenali sebagai musim tengkujuh.
Pada musim ini, negara lazimnya akan mengalami keadaan cuaca tidak menentu, dengan hujan atau hujan berpetir sekali-sekala lebat berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi.
Manakala semasa tempoh separuh kedua monsun timur laut iaitu pada bulan Februari 2025 dan Mac 2025, keadaan atmosfera cenderung menjadi lebih stabil dengan pengurangan aktiviti turunan hujan.
Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, di mana keadaan cuaca masih diramalkan aktif sehingga 15 Disember dengan hujan, sekali-sekala lebat dan berpetir dijangka menjejaskan negara terutama pada waktu petang dan sebelah malam dan berpotensi berlanjutan ke awal pagi keesokan hari.
Manakala kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat atau berpetir, dan keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit hingga sederhana, di antara 0.6 dan 1.7 meter.
Sehubungan itu, jabatan mengingatkan kepada orang ramai supaya mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Terdapat risiko berlaku banjir kilat terutama di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Kejadian tanah susur, pokok tumbang dan atap terbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.
Manakala keadaan laut berombak sederhana adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Orang ramai, pemandu di jalan raya dan juga pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.
BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.
Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.
Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (Brunei Weather).