Thursday, October 5, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Cuaca aktif diramal hingga 9 September

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam dijangka aktif bermula hari ini hingga 9 September dengan hujan lebat berpetir dijangka berlaku sekali-sekala di kebanyakan kawasan di negara ini.

    Hujan disertai angin kencang juga dijangka berlaku dari semasa ke semasa dengan kelajuan boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat.

    Sejak awal Ogos hingga ke hari ini, Brunei mengalami sedikit berjerebu yang berasal dari rentas sempadan negara-negara jiran yang ditiup oleh angin barat daya ke negara ini.

    Stesen Pencerapan Kaji Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei telah merekodkan penurunan jarak penglihatan mendatar antara 7 hingga 10km.

    Manakala itu, di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak dengan ketinggian antara 0.4 dan 0.8 meter serta dijangka meningkat ke paras sederhana sehingga 1.5 meter pada 8 dan 9 September terutama di kawasan lepas pantai.

    Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataannnya hari ini, turut menyatakan negara ketika ini, masih berada dalam monsun barat daya di mana angin barat daya adalah dominan dengan keadaan atmosfera stabil.

    Orang ramai turut dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta semasa kejadian air pasang.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang, www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Iran ketatkan kawalan ke atas sekolah antarabangsa

    TEHRAN, 4 OKT - Ia merupakan permulaan penggal baharu di Iran tetapi tahun ini ia menyayat hati bagi pelajar di sekolah antarabangsa selepas keputusan...