Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    Cuaca aktif hingga hujung minggu

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Taufan Hinnamnor dan Lekukan Tropika tidak akan memberi kesan terhadap cuaca Negara Brunei Darussalam, walau bagaimanapun, keadaan cuaca aktif dijangka berlaku sehingga hujung minggu ini (4 September).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, cuaca aktif berkenaan dijangka berlaku dengan hujan atau hujan berpetir berlaku sekali-sekala, terutamanya pada waktu petang dan malam, serta keadaan hujan berkemungkinan berlanjutan hingga ke awal pagi.

    Manakala itu, hujan dijangka sekali-sekala lebat berserta angin kencang dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40kmsj. Keadaan laut pada amnya di paras sedikit dengan ketinggian ombak 0.6 meter.

    Keadaan cuaca negara secara amnya pada masa ini masih berada dalam monsun barat daya di mana negara mengalami keadaan cuaca baik pada waktu pagi dan hujan pada waktu petang.

    BDMD menyatakan bahawa Taufan Hinnamnor telah dikesan di koordinat 25.6°N 129.4°E, di kawasan laut di timur Laut Filipina, sekitar 2,817km jauh dari Negara Brunei Darussalam dan Lekukan Tropika dikesan di koordinat 20.8°N 132.2°E, di kawasan laut sama sekitar 2,615km jauh dari negara, pada pukul 1 petang waktu tempatan hari ini.

    Taufan Hinnamnor diramalkan akan bergerak ke arah barat manakala Lekukan Tropika diramalkan bergerak ke arah barat laut, dan kedua-dua sistem berkenaan dijangka bergerak menjauhi negara.

    Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku. Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat dan semasa kejadian air pasang.

    Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...