TEHRAN, 19 Feb – Pasukan penyelamat Iran berhadapan dengan cuaca buruk hari ini tatkala mereka bergelut bagi menjalankan operasi pencarian bangkai pesawat penumpang yang hilang di pergunungan Zagros kelmarin dengan 66 penumpang berada di dalam pesawat tersebut.
Beberapa helikopter yang dikerahkan pada waktu subuh untuk mencari pesawat Aseman Airlines EP3704 terpaksa kembali ke pangkalan, kata para pegawai.
“Disebabkan oleh angin kencang dan kabus yang mengurangkan penglihatan, bantuan helikopter tidak mungkin akan meneruskan pencarian tersebut,” kata pegawai Bulan Sabit Merah kepada agensi berita ISNA.
Pegawai berkata beratus-ratus pendaki gunung, yang dibantu oleh anjing dan dron, beroperasi di sekitar gunung Dena, 14,465 kaki (4,409 meter), yang popular dengan penduduk Iran yang bersedia untuk mendaki gunung di Himalaya.
Pesawat enjin berkembar ATR-72, mula beroperasi sejak 1993, terbang awal kelmarin dari Lapangan Terbang Mehrabad ke arah bandar Yasuj, kira-kira 500 kilometer (300 batu) di selatan. Pemancar penempatan kecemasan pesawat itu dilaporkan tidak berfungsi, menjejaskan lagi kesukaran mencari bangkai pesawat tersebut. Keluarga penumpang telah pergi ke kawasan itu dan memberikan sampel DNA untuk mengenal pasti mangsa, agensi berita IRNA melaporkan. Pasukan penyiasat dari agensi keselamatan udara Perancis BEA dijangka akan tiba di Iran hari ini. ATR-72 terhempas dalam keadaan cuaca sejuk.
“Ia adalah pesawat yang sangat selamat tetapi … pengendali memutuskan untuk tidak menggunakannya di kawasan gunung sejuk di Amerika Syarikat,” kata pakar penerbangan Iran, Babak Taghvaee.
“Malah, versi terbaharu pesawat ini tidak baik untuk tempat-tempat yang sejuk,” katanya. – AFP