SEMENTARA ais mula cair secara perlahan-lahan di Pantai Timur, cuaca hujan ribut yang berlaku dijangka berpotensi menyebabkan banjir teruk dalam lebih daripada satu dekad di Pantai Barat.
Sekurang-kurangnya empat kematian dicatatkan berikutan daripada kejadian ribut di Pantai Timur, di mana kadar jumlah salji yang turun di wilayah New England berada dalam keadaan luar jangkaan sehingga beberapa buah sekolah di North Carolina juga terpaksa ditutup.
Peramal kaji cuaca juga telah mengeluarkan amaran awal terhadap keadaan cuaca hujan lebat yang dijangka berlaku di utara California dan Nevada serta ribut salji di Oregon pada bulan ini.
Di bahagian wilayah timur pula, masalah dijangka terus berlarutan di North Carolina apabila keadaan salji dijangka boleh mencapai hingga 10 inci memandangkan keadaan cuaca hujan salji secara dijangka bakal berterusan.
Keadaan cuaca buruk ini dijangka bakal menjejaskan jumlah kedatangan pelancong di North Carolina memandangkan beberapa buah tempat juga diliputi dengan keadaan ais dan cuaca cerah tetap menjadi harapan bagi sama-sama memulihkan keadaan seperti sedia kala.
Lebih teruk lagi apabila seorang telah dilaporkan maut setelah kereta yang dipandunya hilang kawalan berikutan daripada keadaan jalan raya yang licin dan merempuh selekoh di Montgomery County.
Menurut pegawai yang bertugas, tiga lagi kematian yang dikaitkan dengan keadaan cuaca ribut sehingga menyebabkan jalan raya licin serta membuatkan mereka hilang kawalan dalam pemanduan dan terbabas turut dilaporkan di Virginia, Georgia dan Kentucky.
Pada minggu lalu, kebanyakan bandar-bandar di wilayah North Carolina seperti Reidsville dan Roxboro juga mengalami cuaca yang sangat dingin iaitu serendah 0 C.
Justeru, Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan juga telah mengeluarkan amaran terhadap 75 daripada 100 buah bandar di wilayah North Carolina berhubung mengenai keadaan cuaca yang buruk.
Para pemandu di North Carolina dinasihatkan untuk meningkatkan kewaspadaan ketika memandu memandangkan pelbagai risiko yang boleh berlaku sewaktu cuaca berada dalam keadaan buruk.


Selain itu, para pemandu di kawasan tersebut turut dinasihatkan agar terus meningkatkan kewaspadaan memandangkan jalan raya setentunya berada dalam keadaan licin serta ribut salji yang mungkin boleh menjejaskan penglihatan sewaktu dalam pemanduan.
Ironinya walaupun cuaca berada dalam keadaan yang buruk namun terdapat juga satu perkhabaran baik di mana dua orang pendaki gunung telah dilaporkan hilang lebih daripada satu hari di kawasan pergunungan yang dingin di North Carolina telah berjaya ditemui.
Ajaibnya, kedua-dua pendaki bukit itu masih berupaya untuk meneruskan kehidupan walaupun tanpa makanan dan minuman serta hanya menggunakan unggun api yang kecil bagi memberikan kehangatan pada tubuh badan mereka dalam mengharungi cuaca yang teramat dingin.
Operasi menyelamat kedua-dua pendaki gunung itu dijayakan dengan bantuan sebuah helikopter yang memiliki kelengkapan untuk mengesan unggun api yang dinyalakan oleh pendaki gunung tersebut pada jam 5 petang di Shining Rock Wilderness iaitu kira-kira 25 batu di kawasan barat Asheville.
Manakala, sesi pembelajaran yang baru dimulakan pada awal tahun ini juga terpaksa ditangguhkan apabila sekolah telah diarahkan untuk ditutup.
Perkara ini adalah dalam mengambil kira kepada risiko berbahaya berhubung keadaan jalan raya yang licin dan suhu cuaca yang dingin di mana ia dipercayai boleh membahayakan kanak-kanak yang tidak menggunakan pakaian yang bersesuaian dengan musim sejuk.
Bukan sahaja sekolah bahkan pejabat-pejabat kerajaan dan Universiti Kebangsaan North Carolina juga terpaksa ditutup dalam mengambil kira terhadap faktor keselamatan.
Selain itu, keadaan cuaca yang teruk bersalji ini juga meningkatkan kadar kemasukan pesakit ke bilik kecemasan di kebanyakan hospital. Kebanyakan kes kecemasan yang dilaporkan adalah berhubung dengan kecederaan yang terjadi disebabkan oleh terjatuh.
Di Mississipi, William Winter yang merupakan seorang mantan gabenor berusia 93 tahun dijangka berada dalam keadaan stabil dan semakin pulih setelah mengalami gegaran apabila kereta yang dipandu oleh beliau terbabas berikutan daripada keadaan jalan raya yang licin. –AP



































