KABUL, 23 JAN – Salji lebat dan cuaca beku telah meragut 104 nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita di Afghanistan sejak dua minggu lalu, kata jurucakap Kementerian Pengurusan Bencana Alam dan Hal Ehwal Kemanusiaan, Shafiullah Rahimi, hari ini.
Semasa bercakap kepada media tempatan, Rahimi berkata seramai 104 orang termasuk kanak-kanak dan wanita telah kehilangan nyawa akibat salji lebat, cuaca dingin dan sesak nafas akibat gas di Takhar, Badakhshan, Nimroz, Kandahar, Laghman, Ghazni, Uruzgan, Jawzjan, Sari Pul,
Faryab, Paktika, Balkh, Samangan, Bamyan dan bahagian lain di negara itu sejak beberapa minggu lalu.
Di Afghanistan yang ketiadaan sistem pemanasan, orang ramai sering menggunakan batu arang, kayu atau gas cecair untuk memanaskan diri mereka, yang dalam banyak kes meragut nyawa akibat kebocoran gas atau karbon monoksida.
Cuaca sejuk melampau dan salji telah melanda beberapa bahagian di Afghanistan sejak minggu pertama Januari di mana suhu jatuh sehingga -30 darjah Celsius di beberapa kawasan di negara itu. – Xinhua