BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bagi beberapa hari akan datang bermula hari ini (7 Ogos) hingga 13 Ogos nanti dengan hujan lebat berpetir sekali-sekala dijangka menjejaskan kebanyakan kawasan negara, terutama pada waktu petang dan malam.
Negara pada masa ini berada di dalam monsun barat daya, yang pada lazimnya akan berterusan sehingga bulan September.
Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menerangkan bahawa semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan.
Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh ini. Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir. Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di antara 0.3-0.6 meter.
BDMD menasihatkan kepada orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.
Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.
BDMD dalam kenyataannya lagi menasihatkan orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.