Cuaca negara tidak terjejas ribut Filipina

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Susulan dua ribut tropika yang dikesan pada jam 11 pagi waktu tempatan iaitu Ribut Tropika Conson yang berada di kepulauan Filipina sekitar 1,336km dan Ribut Tropika Chanthu yang berada di Lautan Pasifik Barat sekitar 2,689km dari Negara Brunei Darussalam, cuaca negara tidak akan dijejaskan secara langsung oleh kedua-dua ribut itu.

Ribut Conson dan Chanthu dijangka bergerak ke arah barat laut menjauhi Negara Brunei Darussalam.

Bagaimanapun pada 8 dan 9 September 2021 negara akan berdepan peningkatan kelajuan angin barat daya terutama di kawasan perairan dan pesisiran negara ini disebabkan oleh pengaruh secara tidak langsung daripada ribut Conson, menurut kenyataan yang diterima dari Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini.

Menurut BDMD lagi, hujan, kadangkala berpetir serta berangin kencang, dijangka berlaku terutama di kawasan perairan negara dalam tempoh dua hari yang akan datang dan kemudian pada amnya menjadi cerah dan sekali-sekala berangin.

Ketinggian ombak pada amnya berada di paras rendah di bawah 1.0 m.

Ramalan lokasi dan trek Ribut Tropika Conson. – Sumber: Joint Typhoon Warning Centre, Hawaii

Namun, ketinggian ombak dijangka meningkat sehingga 1.8 m pada 9 dan 10 September 2021, disebabkan oleh pe-ningkatan kelajuan angin barat daya.

Berdasarkan keadaan cuaca secara am, Negara Brunei Darussalam masih berada di dalam tempoh monsun barat daya dan dijangka akan memasuki musim peralihan monsun sekitar hujung bulan September atau awal bulan Oktober 2021.

Sehubungan dengan itu, BDMD menasihati orang ramai untuk mengambil perhatian akan risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

BDMD juga akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca akan dapat diterima secara langsung sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

Selain itu, bagi maklumat cuaca terkini, orang ramai juga boleh mengetahuinya dengan menghubungi peramal kaji cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram @bruneiweather.