Cuaca panas kering hingga akhir Mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Negara Brunei Darussalam pada masa ini masih berada dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga hujung bulan Mac 2020.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD), berdasarkan klimatologi Negara Brunei Darussalam, Mac mempunyai bilangan hari-hari berhujan dan juga jumlah turunan hujan yang terendah berbanding bulan-bulan lain.

Sepanjang tempoh ini, negara pada lazimnya akan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering, di mana aktiviti turunan hujan juga berkurangan disebabkan keadaan atmosfera yang stabil. Walau bagaimanapun, hujan lebat atau hujan berpetir masih berpotensi berlaku jika terdapat gangguan sementara atmosfera di tahap rendah. Keadaan ini akan menggalakkan pembentukan awan dan seterusnya turunan hujan.

Ramalan am bagi negara ini sehingga hujung minggu ini adalah pada amnya berawan. Manakala, hujan atau hujan berpetir mungkin berlaku di beberapa kawasan pesisiran pada waktu pagi dan di kawasan pedalaman negara pada waktu sebelah malam. Kejadian hujan lebat setempat boleh meningkatkan risiko banjir kilat terutama di kawasan rendah dan mudah banjir.