IPOH, 14 MEI – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan arahan kepada semua masjid di Perak supaya mengadakan solat sunat istisqa bagi memohon hujan berikutan fenomena cuaca panas yang melanda Malaysia ketika ini.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata arahan itu mungkin dikeluarkan esok atau dalam masa terdekat.
“Kita akan buat (solat sunat Istisqa) dalam masa terdekat sebab kita tengok awan ada nampak nak hujan pula, tetapi insya-Allah kita akan buat.
“Mungkin kita arahkan hari esok, esok saya akan keluarkan surat mungkin Selasa, Rabu kalau masih lagi cuaca begini (panas) kita akan teruskan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 JAIPk bersama Persatuan Cina Muslim Ipoh di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Perak akan mengadakan solat sunat istisqa atau solat sunat meminta hujan ekoran cuaca panas ketika ini. – Bernama
