Cuaca tak menentu, perubahan oseanografi punca siput terdampar

KUALA TERENGGANU, 22 NOV – Cuaca yang tidak menentu serta perubahan oseanografi menjadi antara faktor yang mendorong berlaku fenomena siput laut terdampar di Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua di Marang, beberapa hari lepas.

Pensyarah Kanan dan ahli malakologi Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu Dr Nursalwa Baharuddin berkata ombak kuat yang terhasil akibat Monsun Timur Laut menyebabkan pergolakan air dari atas ke bawah.

“Fenomena ini membolehkan siput-siput dewasa berkumpul supaya dapat meningkatkan pembiakan dan kemandirian dalam populasinya.

“Selain itu, generasi yang berdaya tahan akan dihasilkan untuk kembali ke habitatnya. Melalui fenomena ini juga, siput ini dapat menjelajah kawasan baharu untuk mencari sumber makanan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan pantai itu meriah dikunjungi penduduk setempat berikutan terdapat banyak siput laut yang didakwa muncul semula selepas 50 tahun.

Nursalwa berkata nama saintifik siput itu ialah ‘Margistrombus marginatus’ mempunyai saiz ukuran antara empat sentimeter (cm) hingga 8cm.

“Siput ini kebanyakannya terdapat di Laut Andaman, perairan selatan India, Selat Melaka dan Laut China Selatan malah kajian dilakukan kumpulan penyelidik saya di perairan Pulau Bidong pada 2018 juga merekodkan kewujudan spesies tersebut.

“Ianya banyak didapati di kawasan yang terdapat rumput laut dan berada di kawasan bentik iaitu permukaan bawah laut yang berpasir dan berkelodak. Ia ‘muncul’ semula selepas puluhan tahun disebabkan ombak kuat dan perubahan oseanografi yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Ditanya mengenai keghairahan orang ramai untuk menikmati siput tersebut, beliau menasihatkan agar siput itu direndam dalam air masin semalaman sebelum direbus dan dimasak untuk memastikan segala lendir, kekotoran dan pasir dapat diasingkan memandangkan habitat siput ini menduduki kawasan yang berpasir dan berkelodak.

Siput ini mempunyai protein yang tinggi. Begitu juga kandungan kolesterolnya jika dimakan dalam jumlah yang banyak. – Bernama

Siput laut di Pantai Rusila, Kampung Rhu Dua. – Bernama