Cuba beralih ke tempoh normal baharu

HAVANA – Bernardo Sosa, warga Cuba yang menetap di Amerika Syarikat (AS), gembira dapat kembali ke pulau itu selepas 20 bulan terpisah akibat pandemik COVID-19.

Dia antara penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jose Marti di Havana kerana Cuba telah memasuki tempoh normal baharu berikutan pengumuman kerajaan mengenai kejayaannya mengawal penularan penyakit itu. Sosa, yang tinggal di Florida bersama keluarganya, memberitahu Xinhua dia telah menghitung hari buat masa ini apabila sekatan sempadan di pulau itu akan ditarik balik.

“Saya berasa selamat di Cuba kerana kebanyakan orang di sini telah divaksin COVID-19. Saya rindu akan rumah,” katanya. Seperti dia, ramai warga Cuba yang tiba di pulau itu bertemu saudara-mara dan rakan-rakan selepas perpisahan fizikal yang lama.

“Saya berasa teruja. Seronok berada di sini,” kata Pedro Alonso, warga emas Cuba yang tinggal di luar negara. “Amat menyedihkan tidak menghadiri pengebumian orang tersayang.”

Pada 15 November lalu, lapangan terbang di Havana menerima 21 penerbangan dari negara, termasuk Turki, Panama, Venezuela, AS dan Mexico.

Kelihatan seorang peniaga memakai pelitup muka ketika berada di jalanan di Havana, Cuba. – Xinhua

Dengan syarat kuarantin sudah ditarik balik, pelancong antarabangsa yang melawat negara ini hanya diminta menunjukkan sijil vaksinasi yang dikeluarkan di luar negara atau ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang diambil 72 jam sebelum ketibaan.

Bilangan penerbangan mingguan antarabangsa ke Cuba diunjurkan meningkat kepada 415 daripada hanya lebih 60, menurut statistik rasmi.

“Kami menjangkakan untuk memulihkan tahap pra-pandemiK menjelang akhir 2022 atau awal 2023. Jumlah operasi akan meningkat dengan ketara menjelang akhir Disember,” kata Lisette Urgelles, timbalan pengarah syarikat Cuba untuk perkhidmatan lapangan terbang ECASA. Industri pelancongan tempatan menambah bilik hotel baharu untuk mengalu-alukan pelancong antarabangsa dengan mandat pemakaian pelitup muka dan protokol COVID-19.

“Semua pekerja kami telah dilatih mengenai garis panduan keselamatan dan protokol koronavirus. Langkah berbeza juga telah diguna pakai untuk mengurangkan risiko penularan dan potensi pendedahan kepada virus itu,” kata Hector Silva, pegawai kanan pelancongan. Lebih 700,000 kanak-kanak berumur lima hingga 10 tahun kembali ke kelas secara bersemuka selepas divaksinasi dengan vaksin koronavirus buatan sendiri.

“Saya berasa sangat gembira untuk kembali ke bilik darjah. Saya menyayangi guru dan rakan sekelas saya,” kata Fernanda Saldivar dari darjah empat kepada Xinhua semasa di sebuah sekolah di daerah Marianao di Havana. – Xinhua