Tuesday, April 16, 2024
29.5 C
Brunei

    -

    Cuba berjuang kekalkan industri pemprosesan gula

    AGUADA DE PASAJEROS, CUBA – Bunyi wisel kedengaran di sebuah kilang gula di tengah Cuba, menandakan penggilingan semula disambung pada tengah hari selepas berhenti selama sejam apabila tebu mentah habis.

    Ketika ini adalah masa penuaian tebu di Cuba, yang dahulunya merupakan pengeksport gula utama dunia tetapi kini bergantung kepada import.

    Kekurangan penuai dan trak yang kritikal untuk menghantar tebu ke kilang telah menyebabkan pengeluaran terbantut walaupun kerajaan berhempas-pulas untuk memulihkan industri yang dahulunya rancak.

    Penuaian 2020-21 Cuba menghasilkan 800,000 tan produk manis, menurut angka rasmi. Ini hanyalah 10 peratus daripada pengeluaran puncak kira-kira tiga dekad lalu dan hasil terburuk dalam 130 tahun untuk industri yang pernah menjadi penggerak ekonomi Cuba dan sumber kebanggaan negara.

    “Ini adalah perang tanpa peng-hujung,” kata Lazaro Manuel Torres, bos kilang Antonio Sanchez di wilayah Cienfuegos tengah Cuba, kepada AFP.

    “Dari saat awda bangun, awda berdepan dengan segunungan masalah, kata Torres, sambil memerhatikan dengan lega apabila asap putih berkepul-kepul dari cerobong selepas dimulakan semula.

    Petani menanam tebu di ladang Central Azucarero Antonio Sanchez di bandar Aguada de Pasajeros, wilayah Cienfuegos, Cuba. – AFP
    Sebuah traktor menuai tebu di ladang kilang gula Central Azucarero Antonio Sánchez. – AFP
    Kereta api dengan tebu tiba di kilang gula Antonio Sanchez, di bandar Aguada de Pasajeros, wilayah Cienfuegos, Cuba. – AFP
    Kelihatan tebu yang siap dituai dikeluarkan dari lori pengangkut. – AFP
    Pemandangan ladang tebu di Central Azucarero Antonio Sánchez. – AFP

    Hanya 56 kilang

    Sehingga 1989, Cuba adalah pengeksport gula terbesar di dunia. Amerika Syarikat adalah pelanggan utamanya sehingga 1960, dua tahun sebelum Washington mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas negara komunis itu. Kesatuan Soviet, sekutu politik, kemudian menjadi pembeli penting dan diberi kadar keutamaan.

    Gula adalah nadi rancangan Cuba untuk masa depan yang makmur, dengan Fidel Castro mengetuai kempen pada tahun 1970an lengkap dengan gambar propaganda beliau memegang parang di ladang gula untuk meningkatkan pengeluaran negara kepada 10 juta tan setahun.

    Matlamat itu tidak pernah tercapai. Kejatuhan blok komunis pada 1991 menandakan permulaan bagi pengakhiran industri gula Cuba, diburukkan lagi dengan sekatan, penurunan harga yang mendadak dan kekurangan pelaburan yang menyaksikan 100 kilang ditutup. Hanya 56 buah kilang masih beroperasi hari ini. Cuba kini perlu mengimport gula untuk memenuhi permintaan tempatan dan komitmen eksportnya.

    “Kami telah mencatatkan kemerosotan sejak 2017,” kata Noel Casanas, naib pengarah pengeluar gula milik kerajaan AZCUBA, kepada AFP. “Jika keadaan berterusan, memang benar (industri) akan lenyap.”

    Gula masih merupakan penjana pendapatan penting bagi 50 daripada 169 majlis perbandaran di Cuba, atau kira-kira 1.2 juta daripada 11.2 juta penduduk negara itu, katanya.

    Pada bulan Disember, kerajaan meluluskan berpuluh-puluh langkah dalam usaha untuk menghidupkan semula industri gula.

    Ia menggandakan harga yang dibayar kepada pengeluar tebu, membenarkan pengambilan dan pemberhentian buruh percuma, dan memberikan lebih banyak autonomi membuat keputusan kepada kilang di negara yang hampir semuanya dikendalikan oleh kerajaan.

    “Saya tidak fikir langkah ini boleh menghidupkan semula industri yang sudah menjadi ‘mayat’,” kata ahli ekonomi Emilio Morales dari Havana Consulting Group yang berpangkalan di Miami.

    Casanas mengakui pengeluaran menghadapi ‘semua jenis had’, kekurangan pelaburan asing yang kritikal disebabkan pengukuhan sekatan AS sejak Presiden Donald Trump.

    Sejak penuaian tebu dibuka pada Disember, Antonio Sanchez gagal melepasi 65 peratus kapasiti pengilangan, ditetapkan pada 20,000 tan untuk tuaian tahun ini. Masalahnya bukan kekurangan bahan api atau produk mentah, kali ini, tetapi kekurangan mesin penuai dan trak penghantaran.

    Alat ganti tidak mencukupi, malah tayar, untuk kenderaan di Cuba dan pengeluar seperti Torres tidak mampu membeli komponen terhad yang tersedia.

    “Jika awda tidak mempunyai penuai, jika awda tidak mempunyai trak, awda tidak boleh mengisar,” keluhnya.

    Pengeluar gula di Cuba juga terjejas teruk akibat kekurangan baja dan racun perosak. Buat masa ini, langkah kerajaan telah berjaya memperlahankan penghijrahan pekerja gula, bos industri memberitahu AFP.

    “Kami tidak boleh merungut, kami melakukannya dengan baik sehingga 700 peso (kira-kira AS$29) sehari,” kata petani, Livan Hernandez.

    Gaji purata bulanan Cuba ialah kira-kira AS$162. Casanas berkata apa yang diperlukan ialah pelaburan asing dan mengembangkan industri kepada derivatif gula yang sangat menguntungkan seperti bioetanol.

    Gula “bukan lagi lokomotif (ekonomi Cuba) dan tidak lagi menjadi penggerak utama,” katanya.

    “Tetapi ia terus menjadi sektor strategik… yang mesti dibangunkan,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...