Cuba elak kontroversi

Penyanyi, Sarah Suhairi akan lebih berhati-hati ketika mengambil gambar bersama rakan lelaki untuk mengelak sebarang kontroversi pada masa akan datang.

Sarah, 19, berkata, dia enggan kontroversi berkaitan hubungan peribadi atau cinta diperkatakan umum sedangkan perkara tersebut tidak pernah berlaku. Menurutnya, pengalaman mengendalikan kontroversi sedemikian pada masa lalu banyak memberikan pengajaran.

“Saya seorang yang berterus terang. Jika ada saya akan kongsikan, jika tiada saya akan jawab. Selalunya apabila terpalit dengan kontroversi, tidak manis dan pahit untuk saya jawab. Ada juga sesetengah kontroversi yang saya tidak pernah tahu, tetapi saya masih perlu jawab,” katanya.

Tambah Sarah yang kini sedang mempromosikan lagu Rise and Fall ciptaan Faizal Tahir berkata, dia juga perlu bijak mengendalikan media sosial terutama Instagram sekiranya enggan terjebak dengan sebarang kontroversi.

“Saya perlu berjaga-jaga menggunakan emoji dan meletakkan kapsyen. Ada sesetengah emoji dan kapsyen yang kadang-kala boleh menimbulkan kontroversi,” katanya.

Terdahulu, Sarah pernah dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi seangkatannya yang juga bekas peserta Big Stage, Ariff Bahran. Biarpun beberapa kali menyatakan hubungan mereka hanya sekadar rakan karib, namun gosip tersebut masih diperkatakan sehingga kini. – Agensi

Sarah berkata bahawa dia perlu bijak mengendalikan media sosial terutama Instagram sekiranya enggan terjebak dengan sebarang kontroversi. – Agensi