HAVANA, 21 OGOS – Cuba melaporkan kes pertama cacar monyet kelmarin iaitu seorang pelancong Itali yang kini berada dalam keadaan kritikal, kata kementerian kesihatan negara itu.
Kementerian kesihatan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh National Television News berkata, “pesakit itu tiba di Cuba pada Isnin lalu dan dimasukkan ke hospital tiga hari kemudian. Pesakit tersebut kini berada dalam keadaan kritikal serta nyawanya dalam keadaan terancam.”
Selepas berasa tidak sihat pada Rabu lalu, kesihatan pesakit bertambah buruk dan pada Khamis dia dipindahkan ke hospital untuk rawatan intensif. Pesakit juga mengalami serangan jantung namun kini sudah pulih. Pelancong itu tinggal di rumah sewa dan melawat beberapa tempat di wilayah barat negara itu, kata kementerian tersebut. Tiada butiran lain diberikan termasuk umur pesakit.
Protokol menangani wabak cacar monyet telah diluluskan oleh kementerian kesihatan Cuba. – AFP