Cuba memenuhi hasrat adik Airein

Pelawak, pelakon dan pengacara, Zizan Razak terharu dengan hajat peminat ciliknya Airein, 12, yang mengalami masalah kegagalan kedua-dua belah buah pinggang sejak berusia dua tahun untuk berjumpanya.

Zizan, 35, berkata dia akan berusaha mencari ruang dalam masa terdekat untuk menunaikan hajat Airein meskipun sibuk dengan ja-dual karier seninya sehingga tahun depan.

“Saya tidak pernah tahu mengenai hajat adik kecil ini minat untuk berjumpa dengan saya. Terima kasih kepada media memaklumkan saya mengenai berita ini.

“Saya rasa berbesar hati walaupun adik berkenaan lebih fikirkan mengenai keadaannya, dia masih boleh berfikir terhadap minatnya juga iaitu kepada sayalah. Tapi, kalau ada ruang kosong dalam masa terdekat, saya akan aturkan untuk bertemu dengan adik Airein,” katanya.

Menurutnya, dia sangat tersentuh dengan penghargaan peminat sebegitu yang sememangnya jujur meminatinya.

“Saya rasa terharu adik kecil seperti ini hatinya jujur dan bersih. Kalau dia minat memang betul-betul minatlah,” tambah Zizan kepada media. – Agensi