HAVANA, 29 Mei – Cuba akan berusaha meminda perlembagaannya untuk membuka ekonomi seterusnya tetapi tanpa mengubah ‘sifat-sifat sosialisme,’ kata pihak berkuasa di sana semalam.
Bekas presiden Raul Castro, yang meletak jawatan pada bulan lalu, memperkenalkan pembaharuan pada tahun 2011 untuk membuka ekonomi berpusat kepada perniagaan swasta kecil dan pelaburan asing.
Perubahan membawa kepada beberapa siri aktiviti dalam tahun-tahun pertama, tatkala rakyat Cuba membuka restoran dan perniagaan kecil lain yang berorientasikan perkhidmatan.
Namun perubahan tidak melancarkan ekonomi yang diharapkan.
Satu suruhanjaya khas akan ditubuhkan ketika sesi parlimen luar biasa pada Sabtu untuk membentangkan perubahan perlembagaan, yang akan dibincang oleh pemangku sebelum meluluskannya dalam referendum.
Butir-butir perubahan yang dicadangkan tidak didedahkan, tetapi mereka dijangka akan meneruskan pembaharuan yang dilancarkan oleh Raul Castro, yang mengubah Cuba yang diwarisinya daripada abangnya Fidel pada tahun 2006.
Perubahan juga akan memberikan satu undang-undang yang memperkukuh peraturan yang telahpun digubal.
Apabila Raul Castro menyerah jawatan presiden kepada Miguel Diaz-Canel, seorang orang awam berusia 58 tahun, pada 19 April, beliau menekankan pembaharuannya “tidak bertujuan mengubah sifat-sifat sosialisme” di Cuba.
Castro dijangka kekal sebagai setiausaha agung Parti Komunis pulau berkenaan sehingga 2021.
Perlembagaan Cuba telahpun dikemaskini sebanyak tiga kali sejak ia diisytiharkan pada tahun 1976. – AFP