Cubaan bunuh diri berjaya dihalang

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Tindakan seorang lelaki tempatan yang berhasrat untuk membunuh diri dengan terjun dari Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berjaya dihalang oleh anggota bomba dan penyelamat, malam kelmarin.

Mangsa berusia 30 tahun itu berjaya dipujuk dan diselamatkan dengan bantuan daripada anggota bomba dan penyelamat Unit Skuad Khas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, hari ini, seramai 13 anggota yang diketuai oleh DSO Haji Sapar bin Haji A.Judin dari Balai Bomba Sungai Kebun dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 8:25 malam.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila tiba di tempat kejadian, penyiasatan dijalankan dan didapati seorang lelaki mencuba membunuh diri dengan terjun dari jambatan tersebut.

Dalam operasi tersebut, anggota Balai Bomba Sungai Kebun bersiap sedia dengan memasang alat keselamatan seterusnya bertindak untuk memujuk lelaki itu, dalam masa 30 minit sebelum memegang dan memeluk badan lelaki berkenaan hingga selamat.

Lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak paramedik untuk menjalani pemeriksaan dan kemudian diserah kepada pihak polis untuk siasatan selanjutnya.

JBP menyarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan melibatkan kejadian seperti itu, orang ramai hendaklah menghubungi talian kecemasan 995 dan 993 serta memberikan maklumat yang tepat.