Cubaan seludup 120 botol minuman keras dipatahkan

Oleh Yusrin Junaidi

TEMBURONG, 25 NOV – Sebanyak 120 botol minuman keras pelbagai jenama berjaya dirampas dalam cubaan menyeludup masuk oleh seorang suspek lelaki warga tempatan di Kampung Ujung Jalan, Daerah Temburong.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) hari ini, semasa kejadian suspek yang memandu sebuah kenderaan keluar dari kampung itu dalam keadaan mencurigakan dan cuba lari untuk menyembunyikan diri.

Anggota peronda dari Balai Polis Bangar kemudian menemui kereta itu di kawasan sekolah dan berjaya menahan pemandunya. Ketika pemeriksaan dijalankan ke atas suspek dan kenderaannya, pihak polis menemui sejumlah bungkusan kotak hitam berisi botol minuman keras.

Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar untuk siasatan lanjut dan kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.

Menurut kenyataan itu lagi, PPDB akan sentiasa memantau, merisik dan mengesan sebarang kegiatan jenayah berdekatan kawasan-kawasan sempadan negara dalam usaha menangani jenayah-jenayah rentas sempadan.

Minuman keras pelbagai jenama yang dirampas di Kampung Ujung Jalan, Daerah Temburong. – Gambar serahan PPDB