Saturday, October 5, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup 288kg sisik tenggiling RM3.69 juta dipatahkan

    SEPANG, 13 Jun – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mematahkan cubaan menyeludup 288kg sisik tenggiling bernilai kira-kira RM3.69 juta.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Datuk Paddy Abd Halim berkata bertindak atas maklumat, pemeriksaan dijalankan ke atas 12 kotak disyaki membawa barang larangan import di Gudang Kargo Udara, Zon Perdagangan Bebas, KLIA pada 9 Jun lepas.

    Katanya kotak-kotak tersebut dicatatkan mengandungi cangkerang tiram di dalam surat muatan udara dengan alamat penerima di Ampang, Selangor adalah palsu.

    “Kotak yang ditahan tersebut, tiba melalui penerbangan Turkish Airlines dari Ghana ke KLIA sebagai destinasi akhir dituju,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

    Sebahagian sisik tenggiling yang dirampas dipamerkan ketika sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA di Kompleks Kargo KLIA hari ini. JKDM KLIA berjaya mematahkan cubaan menyeludup 288 kg sisik tenggiling bernilai lebih kurang RM 3,688,960 juta melalui Lapangan Terbang KLIA pada 8 Jun lalu. – Bernama
    Sebahagian sisik tenggiling yang dirampas dipamerkan ketika sidang media Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA di Kompleks Kargo KLIA hari ini. JKDM KLIA berjaya mematahkan cubaan menyeludup 288 kg sisik tenggiling bernilai lebih kurang RM 3,688,960 juta melalui Lapangan Terbang KLIA pada 8 Jun lalu. – Bernama

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan yang membawa hukuman denda minimum 10 kali ganda atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Paddy berkata ini adalah kes ketiga melibatkan rampasan sisik tenggiling pada tahun ini.

    Katanya sisik tenggiling dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

    Tambahnya ia juga disenaraikan sebagai barang dilarang import di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda