Cubaan seludup 5,255 kura-kura dipatahkan

SEPANG, 26 JUN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 5,255 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider ke India yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Khamis lepas, membabitkan penahanan dua warga India.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata anak kura-kura bernilai RM52,550 itu diletakkan di dalam 32 bakul kecil di dalam bagasi milik kedua-dua suspek dengan sebahagian daripadanya didapati sudah mati.

Menurutnya, dua lelaki warga India itu tiba dari Guangzhou, China ketika ditahan bersama-sama kotak yang mengandungi anak kura-kura tersebut.

“Kita percaya anak kura-kura itu bukan untuk pasaran tempatan sebaliknya klia2 hanya transit sebelum bahan larangan itu dibawa ke India,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kargo di sini hari ini. Hadir sama Pengarah Kastam KLIA,  Abdul Wahabi Abdullah.

Kedua-dua suspek berumur 30 dan 42 tahun itu kini direman selama 14 hari, manakala kura-kura yang masih hidup akan dihantar ke Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut, katanya.

Zulkurnain turut memaklumkan JKDM berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine bernilai RM717,000 yang disembunyikan di dalam kotak, dalam dua kes berasingan di klia2 minggu lepas, membabitkan dua lelaki warga India yang masing-masing tiba dari Hyderabad dan Bengaluru pada Rabu dan Khamis lepas.

Dalam kes pertama melibatkan rampasan 6.6 kilogram (kg) dadah bernilai RM330,000 pada Rabu, dadah tersebut ditemui tersorok di satu ruang khas di bahagian bawah sebuah kotak berisi satu unit pengisar kering  yang dibawa lelaki terbabit, katanya.

Kes kedua pada Khamis pula membabitkan 7.74kg dadah bernilai RM387,000, 15 bungkusan dadah jenis sama ditemui disorok di dalam tiga unit kotak yang diubah suai, katanya. – Bernama

Salah seorang kakitangan JKDM menunjukkan anak kura-kura yang dirampas di klia2 pada satu sidang media di Sepang. – AFP