LAHAD DATU, 21 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup keluar 8,000 liter minyak petrol ke negara jiran dalam serbuan di jeti pangkalan nelayan Silam Kem kira-kira 3:30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata serbuan berdasarkan maklumat orang awam itu turut menahan empat lelaki berusia 20 hingga 70 tahun dengan seorang daripadanya warga Filipina.
“Ketika serbuan, semua suspek sedang melakukan kerja pemindahan minyak dari lori ke sebuah bot kargo dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Mohd Rizam berkata pemeriksaan mendapati bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran untuk membawa minyak petrol. – Bernama