Cubaan seludup arak dan rokok dipatahkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Cubaan menyeludup barangan tegahan berupa minuman keras dan rokok berjaya dipatahkan oleh Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) hari ini apabila dua orang lelaki tempatan ditahan semasa rondaan rutin di berhampiran kawasan Ladang Padi, Kampung Bebuloh, Limau Manis.

Hasil pemeriksaan terhadap Mohd Sabree bin Abdullah Tubah, 57 dan Mohd Faizal bin Jamal, 31, mendapati kedua-duanya membawa bungkusan plastik mengandungi barangan tegahan minuman keras sebanyak 27 botol dan tujuh karton rokok pelbagai jenama memasuki negara ini secara tidak sah.

Bungkusan itu ditemui dalam kereta milik suspek. Kedua-dua suspek, barangan rampasan serta kenderaan dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja.

PDB dalam pada itu menyeru orang ramai terus menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui talian 993 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Kenderaan suspek yang dirampas dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis.