Cubaan seludup ayam beku bernilai lebih RM1 juta dipatahkan

KUCHING, 19 NOV – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyita enam kontena ayam beku seberat kira-kira 250,500 kilogram bernilai sekitar RM1.031 juta yang cuba diseludup ke dalam negara, dalam Ops Undikar di Pelabuhan Bintulu, 11 November lepas.

Pengarah Kastam Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata ia terdiri daripada 16,700 karton Frozen Chicken 3 Joint Wing, Frozen Chicken Tail, Frozen Chicken Leg Quarter, dengan nilai cukai terlibat dianggarkan RM412,000.

Beliau berkata import komoditi ayam adalah tertakluk kepada Butiran 1(1) Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang mewajibkan pengimport mendapatkan permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi membawa komoditi itu masuk ke Malaysia.

“Barangan kes telah disita, dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan JKDM Bintulu. Seorang ejen kastam yang mengikrar dagangan itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

“Dalam kes ini pengimport didapati tidak mempunyai permit import yang sah dan pengimportan komoditi itu tidak disertakan dengan sijil halal yang dikeluarkan oleh Badan Pensijilan Halal negara pengeksport yang diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya. – Bernama