Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup lebih 700 barang tegahan dipatahkan anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa pemeriksaan di Jalan Utama Mentiri, kelmarin.
Barang-barangan tegahan yang dirampas termasuklah 504 tin bir, 120 botol bir, 36 botol wain, 2 unit rokok elektronik dan 51 paket rokok pelbagai jenama yang dikesan di tempat duduk penumpang bahagian depan, belakang dan bonet kenderaan lelaki itu
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB di sini, penemuan dibuat semasa pemeriksaan ke atas kenderaan lelaki berusia 18 tahun itu di Jalan Utama Mentiri, menghala ke Sungai Akar di Daerah Brunei dan Muara. Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi tindakan selanjutnya. Suspek dan barang rampasan diserahkan kepada pihak JKED bagi siasatan lanjut.
PPDB melalui JSKLL akan sentiasa menjalankan rondaan dan sekatan jalan raya di kawasan-kawasan yang ditetapkan bagi memastikan para pemandu dan penumpang jalan raya akan sentiasa akur dan patuh akan garis pandu dan perundangan yang telah ditetapkan di Negara Brunei Darussalam.
