Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB
TEMBURONG, 30 MEI – Cubaan menyeludup masuk sebanyak 156 botol minuman keras pelbagai jenama, enam karton rokok, lima guni beras dan beberapa bungkusan ayam mentah berjaya digagalkan oleh Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di kawasan Kampung Lepong Baru, Temburong kelmarin.
Penyeludupan dipatahkan apabila rondaan kedua-dua buah pasukan menemui sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan tidak berkunci diletakkan di kawasan semak tanpa pemandu.
Balai Polis Bangar segera dihubungi bagi menjalankan siasatan lanjut dan mendapati ia berisi beberapa bungkusan plastik hitam dipercayai barang tegahan dan tidak diisytiharkan di simpan di bahagian kerusi belakang penumpang dan di dalam bonet kereta.
Barangan terdiri daripada minuman keras, rokok, beras dan kaki, tulang, kulit dan sayap ayam mentah diragui kehalalannya dirampas oleh PPDB dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.
Sehubungan itu, PPDB menegaskan ia akan bekerjasama dan berganding bahu dengan agensi penguatkuasaan undang-undang lain di negara ini, bagi terus membanteras dan mencegah jenayah serta penyeludupan rentas sempadan.
Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan penyeludupan ke talian-talian kecemasan PPDB.

