Cubaan seludup digagalkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berjaya menggagalkan satu cubaan membawa masuk barangan tegahan di kawasan Simpang 2302 Kampung Junjongan, Limau Manis, Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Anggota polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan, Haji Adanan bin Haji Sulaiman, 44, yang dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi siasatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PDB, anggota bertugas yang sedang giat menjalankan rondaan telah menemukan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan yang cuba untuk keluar dari laluan jalan tikus berkenaan.

Hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan menemukan beberapa barangan tegahan seperti satu paket kecil dipercayai mengandungi dadah berserta peralatan menghisap dadah dan dua kotak rokok. Kesemua barang itu turut dibawa ke Balai Polis Limau Manis.

PDB melalui Pasukan Simpanan Polis C Kompeni akan sentiasa menjalankan operasi dan rondaan di kawasan-kawasan sempadan negara ini dalam usaha menangani jenayah-jenayah rentas sempadan.