Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cubaan seludup gagal

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) telah berjaya menggagalkan percubaan penyeludupan barangan tegahan melalui Sungai Jai Jai berdekatan kawasan perairan Kampung Riong Putat, pada awal pagi.

    Dalam kejadian sekitar jam 2:45 pagi itu, keanggotaan Polis Marin yang membuat rondaan di kawasan perairan Sungai Jai Jai, Putat telah mendapati sebuah bot yang mencurigakan sedang menuju masuk ke Sungai Riong.

    Apabila menyedari akan kehadiran pihak polis, bot tersebut terus berpusing dan lari menghala ke Pulai Jai Jai.

    Bot berkenaan berjaya ditemui tanpa pemandu dan hasil daripada pemeriksaan awal telah mendapati sejumlah bungkusan kotak yang dipercayai barangan tegahan.

    Bot berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin bagi siasatan.

    ATAS & BAWAH: Barangan seludup yang dikesan di dalam sebuah bot yang ditinggalkan dan mercun yang dirampas semasa operasi sepadu.

    Hasil daripada rampasan itu telah menemukan sebanyak 537 karton rokok pelbagai jenis serta 27 botol dan 72 tin minuman keras pelbagai jenama.

    Kes berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjut.

    PDB menyeru orang ramai bagi menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah dengan menghubungi talian 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

    Sementara itu, satu operasi sepadu juga dijalankan oleh agensi penguat kuasa undang-undang di negara ini yang terdiri daripada Balai Polis Kampong Ayer, Polis Marin PDB, Biro Kawalan Narkotik (BKN), JKED dan Bahagian Kawalan Makanan Halal (BKMH).

    Operasi yang dianggotai seramai 22 orang pegawai dan anggota tersebut dikendalikan di kawasan Jeti Pengkalan Batang Mukim, Lumapas dan telah mendapati beberapa kesalahan seperti membawa mercun, beberapa jenis minuman, vape dan rokok pelbagai jenis dan daging mentah.

    Dalam pada itu, seramai 18 orang suspek sekitar umur 19 hingga 54 tahun juga berjaya ditahan bagi siasatan lanjut.

    Operasi sepadu seumpama ini akan dijalankan secara berterusan oleh PDB bagi membendung kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang serta memastikan negara ini sentiasa dalam keadaan aman dan tenteram daripada gejala-gejala yang mendatangkan kesan negatif dan buruk kepada masyarakat awam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda