Cubaan seludup kayu merah RM4.6 juta dipatahkan

DENGKIL, 23 JULAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 283 batang kayu merah atau Red Sandalwood yang biasa digunakan untuk perubatan herba tradisional bernilai RM4.6 juta dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 17 Julai lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Johari Alifah berkata penemuan kayu merah berkenaan susulan penahanan sebuah kontena diimport dari India yang diikrarkan sebagai karburator dan chamber.

“Namun, hasil pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas kontena tersebut menemui sejumlah batang kayu merah yang dimuatkan ke dalamnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata dagangan kayu merah berkenaan tersenarai di bawah Appendix 2 CITES (Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Terancam) yang mensyaratkan pengeksport perlu mempunyai sijil yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara pengeksport. – Bernama

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan/Pematuhan) Datuk Johari Alifah menunjukkan sebanyak 283 batang kayu merah (red sandalwood) bernilai RM4.6 juta yang cuba diseludup ke Malaysia telah dirampas pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 17 Julai lalu di Pelabuhan Klang Selangor selepas sidang media, kelmarin. – Bernama