Cubaan seludup keluar 50 guni baja ammonia tumpas

SEMPORNA, 13 Julai – Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan tiga lelaki termasuk juragan dipercayai cuba menyeludup keluar 50 guni baja ammonia melalui Pulau Denawan dekat sini ke negara jiran semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata anggotanya yang menjalankan rondaan dalam Ops Gelora menahan suspek berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun selepas memeriksa sebuah perahu yang mencurigakan di haluan menuju ke negara jiran kira-kira pukul 9:50 pagi.

“Hasil pemeriksaan teliti, 50 guni disyaki baja Ammonia termasuk lapan gelen minyak petrol dijumpai dalam perahu tersebut serta juragan berusia 23 tahun mengaku ia hendak diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan PPM turut menahan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin warga Filipina di Pulau Mataking malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, suspek berusia 30 tahun tersebut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah seterusnya di tahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. – Bernama