Cubaan seludup lebih 300 barang tegahan ditumpaskan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Seorang lelaki warga tempatan berusia 44 tahun telah ditahan apabila sejumlah bungkusan mencurigakan dipercayai barang tegahan ditemui dalam kereta yang dipandunya semasa operasi sekatan jalan raya di kawasan Jalan Labu, malam tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), di sini, hari ini, kenderaan bersama pemandu dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal di mana pemeriksaan telah menemukan sebanyak 196 botol minuman keras, 10 karton minuman keras jenis tin pelbagai jenama dan 115 kotak rokok elektronik pelbagai jenama dan perisa.

Kertas penyiasatan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan selanjutnya, tambah kenyataan.

Operasi berkenaan melibatkan 18 orang pegawai dan anggota Daerah Polis Temburong dengan diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Awang Farez Akmal bin Awang Aliakbar.

Kenyataan menekankan, agensi penguatkuasaan kerajaan akan sentiasa teguh dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam matlamat yang utama iaitu bersama membendung, mengesan serta membanteras kegiatan-kegiatan yang cuba untuk meruntuhkan akhlak serta kesejahteraan mahu pun keamanan di negara ini.

PPDB serta agensi penguatkuasaan lain juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memberikan kerjasama yang jitu dalam perkongsian maklumat bagi mengelakkan sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini berleluasa tanpa sebarang pembendungan dan tindakan sewajarnya.

Antara barang tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak PPDB.
Sejumlah bungkusan mencurigakan dipercayai barangan tegahan ditemui dalam kereta semasa operasi sekatan jalan raya di kawasan Jalan Labu.