Cubaan seludup minuman keras dipatahkan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Pasukan penguat kuasa baru-baru ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup 36 botol minuman keras pelbagai jenama selepas mengesan tiga orang individu keluar dari hutan sempadan Malaysia, berjalan menuju negara ini membawa tiga buah kotak hitam semasa menjalankan rondaan sekitar jam 6:29 petang.

Apabila menyedari kehadiran pasukan peronda, individu terbabit meninggalkan barangan dibawa dan terus melarikan diri masuk kembali ke sempadan negara jiran.

Salah seorang suspek itu didapati memegang sebilah parang berukuran 17 inci panjang.
Sejurus pemeriksaan, pihak penguat kuasa mendapati kotak-kotak hitam yang dibawa mereka mengandungi barangan tegahan berupa minuman keras.

Barang-barang tegahan dibawa ke Balai Polis Kampung Air untuk siasatan dan seterusnya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi tindakan selanjutnya.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) turut berdepan detik cemas dalam kejadian berlaku pada 19 Februari lalu di mana semasa menjalankan rondaan rutin di kawasan perindustrian Kampung Lumapas, mereka mengesan sebuah kereta mencurigakan diletakkan di kawasan tersebut.

Pemandu yang menyedari kehadiran pasukan peronda, bagaimanapun terus memecut laju menghala ke arah pasukan peronda, walau bagaimanapun anggota pasukan penguat kuasa berjaya menyelamatkan diri daripada dirempuh.

Pemandu dan kenderaan itu bagaimanapun berjaya melarikan diri. Pihak penguat kuasa dengan kerjasama berterusan antara Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, PPDB dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam Operasi Sepadu Taskforce Security COVID-19 akan sentiasa memantau dan memperketatkan kawasan sempadan dari semasa ke semasa bagi menyekat kemasukan haram dan mengekang penularan wabak COVID-19, selain membanteras kegiatan jenayah.

Minuman keras yang cuba diseludup masuk dirampas oleh pasukan penguat kuasa. – Gambar serahan PPDB