Cubaan seludup minuman keras dipatahkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Rondaan rutin Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dari cabang Polis Marin hari ini di sekitar Pulau Chermin berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan minuman keras.

Menurut kenyataan dari PPDB, pada jam 12:15 malam semasa berlabuh berhampiran Pulau Berbunut, anggota polis terdengar bunyi enjin dan ternampak kelibat perahu mencurigakan dikendalikan melalui bawah Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien menuju ke Sungai Bungai.

Perahu tambang berwarna oren dan biru menggunakan enjin 85 kuasa kuda itu turut membawa seorang penumpang.

Apabila menyedari kehadiran polis, pengemudi perahu terus memecut ke laut Pulau Pepatan dan berlaku aksi kejar-mengejar antara polis dan suspek. Semasa diarahkan berhenti, pengemudi perahu ingkar dan meneruskan perjalanan sambil penumpangnya membuang beberapa kotak plastik dari dalam perahu ke dalam laut dan memecut ke kawasan Pangkalan Sibabau.

Anggota PPDB menghampiri tempat mereka membuang barangan dan mendapati ia berisi pelbagai jenis minuman keras dengan jumlah keseluruhan 120 tin dan 26 botol minuman keras pelbagai jenama.

Barang-barang tegahan ini dibawa dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan lanjut.

Minuman keras yang dibuang suspek ke dalam laut dan dirampas oleh Polis Marin. – Gambar serahan PPDB.